Juara Thai League 1 musim 2023/24, Buriram United membuka kempen Kumpulan B Shopee Cup dengan langkah kiri apabila tewas kepada Cong An Ha Noi (CAHN) FC di Stadium Hang Day, Hanoi.
Kedua-dua pasukan layak ke Shopee Cup dengan status juara kejohanan domestik untuk musim 2022/23 dan 2023. Buriram merupakan pemenang Thai League Cup 2022/23 dengan CAHN pula meraih kejuaraan V. League 1 2023.
Alan Grafite diberi amanah mengetuai serangan The Police Team. Sementara Osmar Loss Vieira pula menurunkan barisan terkuat Thunder Castle meskipun merehatkan beberapa tonggak termasuk pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools.
Separuh masa pertama menyaksikan CAHN yang dibimbing Mano Polking berusaha mendapatkan kelebihan gol awal. Phan Van Duc hampir meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit pertama tetapi tandukannya tersasar.
Van Duc menebus kehampaannya dua minit selepas itu. Pemain sayap berusia 28 tahun itu menggamatkan Stadium Hang Day dengan rembatan dari luar kotak penalti yang menewaskan Siwarak Tedsungnoen.
Tersentak, Buriram berusaha mendapatkan gol penyamaan menerusi dua peledak berbisa mereka, Guilherme Bissoli dan Supachai Chaided tetapi tidak berhasil.
Kecekapan penjaga gol The Police Team, Filip Nguyen memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Vieira memasukkan penyerang Brazil, Chrigor menggantikan Rattanakorn Maikami untuk menambah bisa di bahagian serangan.
Hasilnya, Thunder Castle kembali menyamakan kedudukan menerusi Jefferson Tabinas pada minit ke-49. Gol tersebut mendorong Buriram untuk terus memburu gol kedua perlawanan.
Keceriaan kem pelawat tidak bertahan lama apabila Grafite kembali meletakkan The Police Team di hadapan pada minit ke-66. Gol tersebut membolehkan CAHN meraih tiga mata penuh di hadapan penyokong setia mereka.
Keputusan ini menyaksikan CAHN menduduki tangga kedua Kumpulan B di belakang kelab Indonesia, Borneo FC. Walau bagaimanapun, kedudukan ini boleh berubah seandainya KL City FC melakar kemenangan besar ke atas Kaya FC-Iloilo dalam satu lagi aksi kumpulan.
Selepas ini, CAHN bakal berhadapan Lion City Sailors dalam aksi kedua kumpulan pada 26 September. Manakala Buriram pula berdepan Kaya pada hari yang sama.