Jurulatih Buriram United, Mark Jackson mengingatkan anak buahnya kekal fokus meskipun memiliki kelebihan dua gol untuk aksi separuh akhir kedua Shopee Cup.
Aksi separuh akhir pertama menyaksikan Thunder Castle meraih kemenangan 3-1 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Dua gol Guilherme Bissoli dan Goran Causic memastikan rekod tanpa kalah Buriram ke atas JDT terus bertahan. Harimau Selatan membalas menerusi gol Ager Aketxe.
Meskipun memiliki kelebihan untuk aksi timbal balik di Stadium Buriram, Jackson mahu anak buahnya menunjukkan prestasi terbaik untuk perlawanan tersebut.
Ini kerana JDT memiliki ramai pemain berkualiti dan berupaya membuat perubahan dalam aksi timbal balik.
“Johor Darul Ta’zim mempunyai ramai pemain yang boleh membuat perubahan dalam permainan. Mereka mempunyai pemain yang sangat berbahaya.
“Jadi, kami perlu memastikan bahawa kami mempunyai pasukan yang kuat, pasukan yang berkualiti, dan semangat bekerjasama.
“Apabila anda mendapat peluang bermain, perkara yang paling penting ialah bermain sebagai satu pasukan kerana kerja berpasukan adalah yang membawa kepada kemenangan,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Aksi timbal balik bakal berlangsung pada 13 Mei ini. Buriram berpeluang ke final sekiranya berjaya mempertahankan kelebihan agregat 3-1 yang dimiliki.
JDT juga masih berpeluang layak ke final dengan syarat mengatasi kelebihan agregat yang dimiliki kelab gergasi Thailand itu.