Shopee Cup: Buriram United Bawa Bekalan Selesa, Tewaskan JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Buriram United membawa kelebihan dua gol untuk aksi separuh akhir kedua Shopee Cup apabila menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Buriram berharap dapat menempah tiket final sekaligus semakin hampir mempertahankan trofi yang dimenangi pada musim 2024/25. JDT pula bukan saja memburu misi sama seperti Thunder Castle.

Malah, ini juga peluang Harimau Selatan melunaskan dendam ke atas pasukan gergasi Thailand itu. Ini kerana Buriram menewaskan JDT 2-1 dalam aksi Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada September 2025.

Penyerang Brazil, Jairo da Silva kembali berada dalam kesebelasan utama JDT selepas pulih daripada kecederaan yang dialami di peringkat suku akhir ACLE. Rakan senegara, Guilherme Bissoli mengetuai jentera serangan Buriram.

Separuh masa pertama menyaksikan JDT berusaha mencari gol awal menerusi gandingan Jairo, Marcos Guilherme dan Oscar Arribas.

Meskipun begitu, benteng Buriram diketuai kapten, Kenny Dougall tenang menyerap asakan jentera serangan tuan rumah.

Tatkala JDT ghairah menyerang, pelawat membuka tirai jaringan menerusi Bissoli pada minit ke-34. Ini gol ke-39 beliau dalam semua kejohanan untuk musim 2025/26.

Gawang Harimau Selatan yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi Mohamed bocor lagi pada minit akhir babak pertama. Kali ini giliran Goran Causic mencetak nama sebagai penjaring.

Dua gol itu membolehkan Buriram selesa mendahului tuan rumah sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Buriram United terus mencari peluang untuk menambah bekalan gol mereka.

Pelawat menyangka mereka telah mendapat gol ketiga menerusi Supachai Chaided. Walau bagaimanapun, gol itu dibatalkan kerana Supachai berada dalam kedudukan ofsaid.

JDT kemudiannya memasukkan Stuart Wilkin sebagai pengganti La’Vere Corbin Ong bagi menambah kreattiviti di bahagian serangan.

JDT berjaya mengurangkan defisit gol menerusi Ager Aketxe pada minit ke-91. Buriram memulihkan kembali kelebihan dua gol untuk aksi timbal balik menerusi Bissoli pada minit ke-93.

Aksi timbal balik bakal berlangsung di Thailand pada 13 Mei ini. JDT masih berpeluang ke final dengan syarat mengatasi kelebihan agregat yang dimiliki Buriram.