Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memohon maaf kepada penyokong kerana gagal menamatkan rekod tanpa kalah Buriram United ke atas pasukan itu.
JDT terpaksa menelan kepahitan apabila tewas kepada kelab gergasi Thailand itu 3-1 dalam aksi separuh akhir pertama Shopee Cup.
Lebih perit, ini kekalahan ketiga Harimau Selatan di tangan Thunder Castle dalam lima perlawanan terakhir mereka di peringkat Asia dan ASEAN.
Munoz mengakui kecewa dan memohon maaf kepada penyokong atas apa yang berlaku. Beliau turut menyifatkan Buriram bertuah kerana berjaya menyempurnakan semua peluang yang dimiliki.
“Kita sedih dengan keputusan ini dan kita memohon maaf kepada peyokong kita kerana memang benar, mereka lebih berjaya daripada kita. Ini adalah perbezaan dalam permainan.
“Kita cuba mengawal permainan tetapi bola sepak pada akhirnya, ini tentang siapa yang mempunyai kapasiti untuk menjaringkan lebih banyak gol.
“Apa yang luar biasa ialah mereka mencuba tiga kali dan mereka menjaringkan tiga gol. Kadangkala hidup ini sukar tetapi dalam situasi ini, kami perlu belajar,” katanya seperti dilaporkan ASEAN United.
Munoz berharap anak buahnya dapat segera melupakan kekalahan ini dan bangkit dalam aksi timbal balik pada 13 Mei ini.
“Bola sepak mempunyai beberapa situasi dengan turun naik. Ia adalah satu perlawanan.
“Kita perlu memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya. Ia perkara biasa jika semua orang sedih kerana kita tidak pernah kalah. Kadangkala sukar untuk memahami perkara itu,” tambahnya.
JDT masih berpeluang menempah tiket final dengan syarat mereka mengatasi kelebihan 3-1 yang dimiliki Buriram United.