Bekas pemain kebangsaan, Shukor Adan bakal mengambil alih tanggungjawab ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun kebangsaan, Juan Torres Garrido membawa pasukan ke China.
Skuad bawah 19 tahun negara dijadualkan menyertai satu kejohanan jemputan di Changsha, China bermula 4 September ini bersama tiga lagi jaguh dari Asia.
“Skuad Harimau Malaya B-19 akan terbang ke Changsha, China pada 31 Ogos 2024 bagi menyertai kejohanan jemputan empat penjuru di sana,” ujar FAM dalam satu kenyataan.
“(Harimau Malaya B-19) menentang Uzbekistan B-21 pada Rabu, 4 September 2024, China B-21 pada Sabtu, 7 September 2024 dan Vietnam B-21 pada Selasa, 10 September 2024.”
Walau bagaimanapun, Juan Torres tidak akan bersama pasukan ke China memandangkan pengendali kelahiran Sepanyol ini mempunyai tugas baharu bersama Pau Marti di kejohanan Pesta Bola Merdeka.
“Skuad Harimau Malaya B-19 akan dikendalikan oleh dua penolong ketua jurulatih B-19 kebangsaan iaitu Noor Zaidi Rohmat dan Shukor Adan.”
“Ini memandangkan Juan Torres yang turut memegang jawatan sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan akan bersama skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti untuk Pestabola Merdeka 2024 dari 4 hingga 8 September ini.”
“Sekembalinya dari China, skuad Harimau Malaya B-19 akan menyambung kem latihan pusat di tanah air bersama Juan Torres dari 12 hingga 16 September.”
Terdahulu, FAM mengeluarkan senarai nama 23 pemain yang terpilih untuk menjalani kem latihan skuad bawah 19 tahun bagi persiapan ke Kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Dushanbe, Tajikistan.
Malaysia akan membuka kempen kumpulan E menentang Oman pada 21 September, DPR Korea pada 23 September, Tajikistan pada 27 September dan Sri Lanka pada 29 September 2024,