Ini info menarik yang perlu diketahui mengenai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya, Mark Milligan dari Australia.
Pada Jumaat, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkenalkan Mark Miligan sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya bagi membantu Peter Cklamovski.
”Saya Mark Milligan, pembantu jurulatih skuad Harimau Malaya. Saya amat teruja untuk perlawanan akan datang,” ujar beliau dalam satu video temu bual eksklusif bersama FAM.
Sungguhpun begitu, terdapat segelintir peminat bola sepak tempatan yang masih tidak mengetahui lebih mendalam mengenai sosok Mark Miligan yang dilihat antara nama besar di peringkat Asia ini.
Mark Miligan merupakan bekas pemain kebangsaan Australia dan memulakan karier profesional bersama kelab tempatan, Northern Spirit dan Blacktown City dari tahun 2002 sehingga 2004.
Kemudian, Sydney FC menjadi destinasi seterusnya Miligan apabila sah menyertai kelab terkemuka Australia itu pada 1 Julai 2005 ketika berusia 19 tahun dan melakukan debut di pentas tertinggi.
Persembahan cemerlang yang ditampilkan oleh Miligan bersama Sydney telah membuka mata jurulatih Australia ketika itu, Guus Hiddink untuk memanggil beliau ke kem latihan kebangsaan setahun kemudian.
Pada 7 Jun 2006, Miligan melakukan debut bersama skuad kebangsaan Australia ketika aksi persahabatan menentang Liechtenstein pada usia 20 tahun dan membantu Socceroos menang 3-1.
Sekali lagi kejutan berlaku apabila nama Miligan tersenarai oleh Guus Hiddink untuk ke Piala Dunia Jerman 2006 dan menjadikannya antara pemain muda Australia yang dibawa ke kejohanan tersebut.
Walau bagaimanapun, Miligan hanya memanaskan bangku simpanan dalam kesemua 4 perlawanan di Piala Dunia itu tatkala Australia berjaya melangkah ke pusingan 16 terbaik pada edisi tersebut.
Skrip sama berulang pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan apabila Miligan sekali lagi dipanggil untuk membawa cabaran Socceroos namun terpaksa menunggu lagi bagi memperoleh debut di kejohanan itu.
Miligan akhirnya melakukan penampilan pertama di pentas Piala Dunia pada edisi 2014 di Brazil apabila turun beraksi menentang Chile dalam aksi pembuka tirai kumpulan yang berakhir dengan kekalahan.
Pada edisi 2018, Miligan menjadi tunjang di jentera tengah Australia apabila tampil dalam kesemua 3 aksi di peringkat kumpulan sebelum mengakhiri perjuangan di tempat ketiga kumpulan C.
Untuk rekod, Miligan telah tampil dalam 4 edisi Piala Dunia sejak 2006 di Jerman sehinggalah pada tahun 2018 ketika berlangsung di Russia membuktikan konsistensi beliau untuk dipanggil ke kem kebangsaan.
Di peringkat Asia, Miligan antara tonggak yang membantu Australia memenangi AFC Asian Cup 2015 malah berjaya menjaringkan satu gol ketika membelasah Oman di peringkat kumpulan.
Miligan turut dilantik menjadi kapten bagi pasukan Australia ketika di AFC Asian Cup 2019 namun malangnya Socceroos tersingkir di suku akhir kepada UAE sebelum beliau umum persaraan pada penghujung tahun itu.
Oleh itu pengalaman luas Miligan di Asia dan antarabangsa tidak boleh dipertikaikan dengan 80 kaps bersama skuad kebangsaan telah mengangkat beliau dalam kelompok 10 pemain Australia dengan penampilan terbanyak ketika ini.
Terbaik