Tiada mana-mana pasukan yang dilihat mampu mencabar keupayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini.
Perkara ini disuarakan oleh bekas penjaga gol negara, Syed Adney Syed Hussein ketika mengulas mengenai perlawanan antara JDT dan Terengganu di Sukan RTM.
Katanya, sungguhpun ramai mengatakan bahawa pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner merupakan pencabar terbaik namun beliau tidak dapat melihatkan pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim.
Syed Adney melihat Terengganu lebih banyak bertahan sejak awal permainan dan jarang mengatur gerak untuk mengasak kubu Harimau Selatan.
“Orang mengatakan Terengganu pencabar utama JDT tetapi satu percubaan tepat pun tak ada. Sebelum kad merah pun sama, mereka (Terengganu) hanya bermain secaar defensif sejak awal minit.
“Saya faham Terengganu datang ke tempat lawan namun tidak berani secara terbuka untuk mencabar JDT. Kita boleh lihat JDT beraksi lebih terbuka untuk mengasak Terengganu.
Beliau melihat antara usaha yang boleh dilakukan untuk memberi tekanan kepada anak buah Hector Bidoglio adalah dengan menggandakan asakan.
“Jika mana-mana pasukan mahu mencabar JDT, perlu lebih berani untuk menyerang dan bijak untuk mencipta peluang sendiri ketika beraksi,” jelasnya ketika pasca- perlawanan semalam.
JDT akan berdepan PDRM manakala Terengganu melayan kunjungan Negeri Sembilan pada aksi 31 Julai 2024.