Nama jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak dilaporkan berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Singapura kini mencari jurulatih keempat dalam tempoh enam tahun. Hal ini berlaku selepas jurulatih Jepun, Tsutomu Ogura meletak jawatan atas sebab peribadi baru-baru ini.
Situasi ini menyebabkan FAS melantik bekas jurulatih Tampines Rovers, Gavin Lee sebagai jurulatih interim.
Susulan itu, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan Aidil Sharin antara jurulatih yang diintai FAS sebagai pengganti Ogura.
“Aidil Sharin Sahak dikaitkan sebagai calon jurulatih baru Singapura susulan pengunduran Tsutomu Ogura,” katanya di X.
Nama Aidil menjadi tumpuan selepas kejayaan beliau membimbing Kuching City meraih tempat keempat Liga Super musim 2024/25.
Kejayaan itu juga menyebabkan bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu dipilih sebagai Jurulatih Terbaik Musim 2024/25.
Seandainya Aidil dipilih sebagai pengganti Ogura, ini bermakna Singapura akan kembali menggunakan khidmat jurulatih tempatan buat kali pertama sejak 2022.
Tahun itu menyaksikan bekas kapten The Lions, Nazri Nasir mengisi kerusi panas itu sebagai jurulatih interim. Beliau kemudiannya digantikan oleh Takayuki Nishigaya pada tahun sama.