Singapura bakal berdepan cabaran dua pasukan gergasi Amerika Selatan, Brazil dan Paraguay pada November ini.
The Straits Times melaporkan dua aksi tersebut merupakan sebahagian daripada The Mizuho Blue Challenge – The Kallang Football Series Singapore yang diadakan dari 13 hingga 17 November ini.
Selain tiga negara tersebut, kuasa besar bola sepak Asia, Jepun turut menyertai kejohanan tersebut. The Mizuho Blue Challenge dilihat medan persiapan terbaik buat Jepun dan Singapura menghadapi Piala Asia 2027.
Singapura akan membuka tirai kejohanan dengan menentang Paraguay pada 13 November. Brazil dan Jepun kemudiannya bertemu buat kali pertama sejak aksi pusingan 32 Piala Dunia 2026 pada 14 November.
Selecao yang dibimbing Carlo Ancelotti kemudiannya akan menentang The Lions pada 17 November. Paraguay pula akan menentang Samurai Biru pada hari yang sama.
Jurulatih Singapura, Gavin Lee menyifatkan dua aksi menentang Brazil dan Paraguay sebagai peluang berharga buat anak buahnya.
Beliau melihat ini bukan saja peluang menguji Singapura berdepan pasukan gergasi dunia seperti Brazil. Malah, ini juga dilihat medan pemanas badan sebelum The Lions beraksi dalam Piala Asia 2027.
“Perlawanan-perlawanan seperti ini sangat berharga bagi kami kerana ia menguji kami dan menunjukkan di mana tahap kami berada dan lebih penting, aspek-aspek di mana kami perlu tambah baik.
“Kami telah mencapai kemajuan yang baik, tetapi masih banyak kerja yang perlu dilakukan. Dan setiap perlawanan yang kami mainkan sekarang membantu kami membuat persediaan untuk Piala Asia,” katanya.
Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu turut berkongsi sentimen sama. Selain sebagai medan persiapan untuk Piala Asia, ini juga peluang buat Jepun menghargai para peminat bola sepak terutama di Singapura yang menyokong pasukan itu semasa kempen Piala Dunia.
“Saya melihat ramai orang di Asia termasuk di Singapura menyokong pasukan kebangsaan Jepun semasa Piala Dunia. Kami benar-benar bersyukur atas peluang untuk bertanding dalam kejohanan di negara di mana bola sepak sangat disayangi dan diikuti ramai peminat.
“Paraguay dan Brazil, kedua-duanya menamatkan saingan lebih tinggi daripada Jepun pada edisi terbaru Piala Dunia.
“Kami ingin memanfaatkan sepenuhnya peluang berharga ini, menggunakan setiap aksi antarabangsa untuk terus maju dari kedudukan kami hari ini dan memberikan prestasi terbaik kami di Piala Asia Januari depan,” ujarnya.
Ancelotti pula melihat kejohanan ini sebagai peluang membina pasukan Brazil yang lebih mantap selepas terkandas di pusingan 16 Piala Dunia.
“Perlawanan persahabatan di Singapura mewakili satu lagi langkah penting dalam membina pasukan kebangsaan Brazil untuk tahun-tahun mendatang.
“Aksi menentang Jepun dan Singapura akan membolehkan kita memerhatikan tingkah laku pasukan dalam konteks yang berbeza dan penting pada peringkat awal kitaran ini.
“Kami sedang berusaha untuk mengukuhkan identiti kami dan menambah pilihan kami. Matlamatnya ialah berkembang dengan seimbang dan menyediakan kumpulan (pemain mantap) untuk cabaran yang akan datang,” katanya.
Jualan tiket untuk The Mizuho Blue Challenge bakal dibuka pada jam 12.00 tengah hari, 4 September ini. Peminat bola sepak yang berminat boleh mendapatkannya di laman sesawang The Kallang Group.
Selain The Mizuho Blue Challenge, Singapura juga akan menyertai FIFA ASEAN Cup pada penghujung bulan ini. Singapura berada dalam Kumpulan A bersama Malaysia, Bangladesh dan tuan rumah, Indonesia.