Bangladesh Sertai FIFA ASEAN Cup
MakanBola
Bangladesh FF

Pasukan Asia Selatan, Bangladesh sah mengambil alih tempat India dalam saingan FIFA ASEAN Cup.

Seasia Goal melaporkan Persekutuan Bola Sepak Bangladesh (BFF) sudah menyatakan persetujuan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan India pada saat akhir.

Susulan itu, satu mesyuarat khas jawatankuasa skuad kebangsaan BFF diadakan pada petang 14 Ogos lalu. Semua ahli jawatankuasa sebulat suara bersetuju menerima jemputan FIFA untuk beraksi dalam kejohanan itu.

Sekiranya semua berjalan lancar, anak buah Thomas Dooley akan berdepan cabaran tuan rumah, Indonesia, Malaysia dan Singapura dalam Kumpulan A Divisyen Premier.

Kumpulan B pula menyaksikan Thailand, Vietnam, Filipina dan satu lagi negara Asia Selatan, Pakistan berentap. Bangladesh berpeluang mendapat empat aksi antarabangsa berkualiti menerusi kejohanan itu.

Saingan FIFA ASEAN Cup juga berguna buat Dooley membentuk skuad mantap menjelang saingan SAFF Championship yang akan berlangsung pada November ini. Bangladesh merupakan tuan rumah untuk edisi ke-15 kejohanan itu.

Sebelum ini, India menarik diri daripada saingan FIFA ASEAN Cup kerana mahu memberi fokus kepada aksi persahabatan menentang Brazil pada 3 Oktober ini.

India juga sudah memiliki perancangan mengatur dua lagi aksi persahabatan berkualiti selepas memilih tidak menyertai kejohanan tersebut.