Singapura menamatkan kempen jelajah mereka di Jepun dengan kekalahan apabila dibelasah Yokohama F. Marinos 7-1.
Selepas meraih kemenangan ke atas Tokyo Verdy pada 11 Oktober lalu, anak buah Tsutomu Ogura berharap dapat menutup jelajah Jepun dengan kemenangan.
Walau bagaimanapun, hajat The Lions untuk menewaskan Marinos berkecai apabila Riku Yamane membuka tirai jaringan pada minit ke-11.
17 minit kemudian, Kenta Inoue menggandakan kelebihan jaringan Marinos. Justin Honma menjadikan kedudukan 3-0 buat tuan rumah menerusi gol pada minit ke-33.
Gawang Singapura bocor lagi buat kali keempat menerusi Kota Mizunuma pada minit ke-37. Yuta Koike memastikan Marinos mendahului 5-0 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-44.
Bersambung selepas rehat, Marinos semakin ghairah memburu jaringan tambahan. Hasilnya, mereka menambah satu lagi gol pada minit ke-49 menerusi Keita Ueda.
Faris Ramli menyumbat gol saguhati Singapura seminit selepas itu dengan menolak hantaran penjaga gol, Fuma Shirasaka ke dalam gol.
Yamane sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pertahanan The Lions dengan meledakkan gol keduanya pada minit ke-54.
Singapura meraih gol saguhati pada separuh masa kedua tetapi itu sudah terlambat untuk menghalang kemenangan besar Marinos.
Selepas ini, The Lions bakal fokus untuk dua aksi persahabatan antarabangsa dengan Myanmar dan Chinese Taipei pada November ini.