Singapura Tewaskan Tokyo Verdy
MakanBola
FA Singapore

Skuad kebangsaan Singapura akhirnya meraih kemenangan dalam jelajah mereka di Jepun dengan menewaskan Tokyo Verdy 2-1.

Selepas dibelasah FC Tokyo 4-0 dalam aksi persahabatan pertama jelajah pada 8 Oktober lalu, The Lions yang dibimbing Tsutomu Ogura berazam untuk bangkit.

Tokyo Verdy bukan asing bagi Singapura. Ini kerana kelab J1 League itu telah memeterai kerjasama dengan Sport Singapore (Sport SG), sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura pada Jun lalu.

Menerusi kerjasama ini, Verdy akan membantu Singapura menaiktaraf mutu bola sepak negara itu terutama di peringkat akar umbi.

The Lions tampil garang dalam aksi persahabatan kedua dengan kelab yang berpangkalan di Tokyo itu. Faris Ramli dan Hami Syahin menyumbat gol buat Singapura dengan Verdy meraih gol saguhati.

Selepas dua perlawanan, Singapura kini merekodkan satu kemenangan dan satu kekalahan sepanjang jelajah mereka di bumi Jepun.

The Lions bakal menutup jelajah Jepun mereka dengan menentang satu lagi kelab gergasi J1 League, Yokohama F. Marinos. Perlawanan itu bakal berlangsung pada 14 Oktober ini.