Selepas tewas 4-1 di tangan Harimau Malaya beberapa hari lepas, ramai merasakan pasukan Singapura perlu dirombak semula termasuk membawa semula pemain-pemain naturalisasi. Dan itu cuba direalisasikan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang melihat proses tersebut perlu dipercepatkan.
Bukan satu perkara asing pemain-pemain naturalisasi pernah membarisi Singapura. Nama-nama seperti Daniel Bennett, Agu Casmir dan Aleksandar Duric pernah mengharumkan nama Singa Kallang satu ketika dahulu termasuk menjulang Piala AFF pada 2004, 2007 dan 2012.
FAS menerusi kenyataan jurucakapnya menegaskan walaupun mereka mahu proses naturalisasi pemain dipercepatkan, pembangunan pemain akar umbi perlu juga diperkukuh.
“Terdapat banyak bukti yang menunjukkan kita perlu meneliti pilihan mempercepat proses integrasi pemain naturalisasi menerusi Skim Bakat Asing (FTS) yang sedia wujud.
“Dengan bertindak pantas mengenalpasti pemain-pemain sesuai yang boleh menyumbang kepada bola sepak Singapura, ia dilihat langkah terbaik dalam menambahbaik pasukan dalam mencapai sasaran jangka sederhana dan panjang FAS,” katanya.
Begitupun, agak sukar bagi FAS merealisasikan hasrat ini dengan mengambil kira kenyataan Sport Singapore. Walaupun tidak menolak agensi-agensi sukan untuk mencalonkan mana-mana atlet termasuk pemain bola sepak untuk FTS, kriteria pemilihan sebenarnya lebih daripada itu.
“Bagaimanapun, kriteria ini melangkaui penilaian kebolehan bakat atlet, tetapi turut mempertimbang komitmen jangka panjang atlet terhadap Singapura dan bukan setakat dalam sukan semata-mata,” jelas agensi tersebut.
Tetapi bagi bekas pemain R. Sasikumar, pendirian sebegini perlu diubah. Walaupun menekankan bahawa pemain tempatan masih perlu menjadi teras pasukan, kehadiran pemain naturalisasi patut dialu-alukan semula dalam pasukan kebangsaan.
“Dengan cara dunia bola sepak berpusing ketika ini, ia merupakan sesuatu yang naif dan kolot untuk menyatakan hanya anak jati Singapura yang patut bermain untuk pasukan kebangsaan.
“Kita perlukan pemain berkualiti dalam pasukan kebangsaan dan jika ada cara untuk menjayakannya, kita patut lakukannya. Realitinya, kita memerlukan pemain naturalisasi.
“Pasukan-pasukan yang layak ke separuh akhir seperti Indonesia, Malaysia dan Thailand telah melakukannya, jadi apa yang menghalang kita?” katanya.