Singapura akhirnya meraih kemenangan pertama sejak Oktober 2023 dengan menewaskan Myanmar 3-2 di Stadium Nasional Singapura.
The Lions berharap dapat meraih kemenangan pertama di peringkat antarabangsa sejak Oktober 2023. Manakala Chinthe pula mahu melebarkan rekod tanpa kalah selepas meraih satu kemenangan dan satu keputusan seri bila menentang Sri Lanka.
Pemain tengah naturalisasi baru Singapura, Kyoga Nakamura diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama. Manakala pemain sayap Negeri Sembilan FC, Hein Htet Aung menjadi sandaran Myo Hlaing Win untuk merobek gawang The Lions.
Singapura tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Farhan Zulkifli. Farhan tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol Chinthe, Kyaw Zin Phyo.
Tersentak, Myanmar mula melancarkan serangan bertubi-tubi menerusi Htet Aung, penyerang Lamphun Warriors, Maung Maung Lwin dan penyerang Yangon United, Oakkar Naing.
Ini memaksa barisan pertahanan Singapura diketuai kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin bekerja keras mematahkan serangan yang direncana pelawat.
Kesukaran Chinthe menembusi gawang The Lions memastikan tuan rumah mendahului 1-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Myanmar terus meningkatkan serangan ke arah kubu tuan rumah. Hasilnya, Aung Ye Yint menceriakan kem pelawat dengan gol penyamaan pada minit ke-47.
Singapura semakin ketinggalan apabila Thiha Zaw menyumbat gol pertamanya bersama Myanmar pada minit ke-52.
The Lions hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-69 menerusi rembatan lencong bekas penyerang Terengganu FC, Faris Ramli. Malangnya, rembatan penyerang berusia 32 tahun itu berjaya ditepis Zin Phyo.
Singapura terus mengasak dan akhirnya meraih gol penyamaan pada minit ke-83 menerusi penyerang Lion City Sailors, Shawal Anuar. Dua minit selepas itu, giliran Naqiuddin Eunos mencipta nama sebagai penjaring.
Gol Naqiuddin memastikan The Lions meraih kemenangan pertama di bawah bimbingan Ogura di peringkat antarabangsa.
Selepas ini, Singapura akan menentang Chinese Taipei pada 18 November. Manakala Myanmar pula bersiap sedia melayan kunjungan Lubnan di Fukuoka, Jepun pada 19 November.