Tonggak Jepun Kini Pemain Naturalisasi Baharu Singapura
MakanBola
BG Tampines Rovers

Singapura kini diperkuatkan dengan kehadiran pemain naturalisasi baru dari Jepun, Kyoga Nakamura.

Ini selepas pemain tengah BG Tampines Rovers berusia 28 tahun itu sah bergelar warga Singapura pada 25 Oktober lalu. Dengan status berkenaan, Nakamura tidak berdepan masalah untuk mewakili The Lions di pentas antarabangsa.

Anak jati Funabashi, Chiba itu mengakui merasa gementar bila mengangkat sumpah sebagai warga Singapura. Pada masa sama, Nakamura merasa teruja kerana dapat membantu pasukan itu kembali garang di peringkat antarabangsa.

“Saya rasa gementar sebelum angkat sumpah tetapi selepas semuanya tamat, saya mempunyai semua memori dalam kepala saya dari masa saya tiba di Singapura hingga sekarang.

“Saya rasa teruja kerana akhirnya menjadi seorang warga Singapura. Saya sangat gembira sekarang ini dan saya tak sabar bermain untuk The Lions dalam perlawanan-perlawanan rasmi,” katanya kepada The Straits Times.

Nakamura dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan pasukan itu. Ini kerana beliau dan pemain warisan Singapura-Inggeris, Perry Ng sudah menyertai Singapura pada September lalu untuk sesi penyesuaian diri.

Nakamura turut menyertai Singapura untuk aksi jelajah di Jepun baru-baru ini. Daripada tiga aksi menentang kelab J1 League, Singapura meraih satu kemenangan dan tewas sebanyak dua kali.

Kali terakhir Singapura menerima pemain naturalisasi ialah tahun 2021 menerusi pemain tengah Lion City Sailors, Song Ui-young.

Perkembangan ini juga bakal membantu BG Tampines Rovers. Ini kerana dengan status Nakamura sebagai pemain tempatan sudah sah, ini membuka ruang buat mereka mendapatkan seorang pemain import baru di pasaran perpindahan.