Situasi terbaru perancang tengah, Alex Agyarkwa meresahkan kem Selangor FC.
Tonggak berusia 24 tahun itu beraksi dalam kesebelasan utama Gergasi Merah pada aksi final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Beliau bagaimanapun tidak dapat meneruskan permainan hingga wisel penamat selepas terpaksa diusung keluar akibat kecederaan.
Ketiadaan beliau jelas memberikan kesan kepada jentera tengah Selangor yang diakui oleh Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil.
Pemain kelahiran Ghana itu tampil memberikan bayangan bahawa kecederaan kaki yang dialaminya dilihat agak serius.
Alex memuat naik satu hantaran di laman sosialnya seakan imbasan x-ray pada kakinya yang mengalami kecederaan.
Hasil imbasan mendapati beliau berkemungkinan mengalami keretakan pada tulang kakinya sekaligus berkemungkinan tidak akan dapat beraksi buat Selangor dalam masa terdekat.

Perkara ini bagaimanapun masih belum disahkan oleh pihak kelab tentang status kecederaan Alex ketika ini.
Selangor bakal menyambung kempen Liga Super pada 13 September 2024 menentang Kuching City sebelum ke Thailand bagi menentang Muangthong United.