Ketua Jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio yakin pasukannya tahu cara beraksi di final.
Pengendali kelahiran Argentina itu kelihatan begitu berpuas hati dengan persembahan anak buahnya berdepan Selangor.
Skuad Harimau Selatan menepati ramalan apabila menjulang Piala FA buat kali ke-3 berturut-turut.
Kemenangan besar 6-1 ke atas Gergasi Merah menjadi kejayaan signifikan buat JDT untuk mengumpul 4 kejuaraan Piala FA sejak diperkenalkan pada tahun 1990.
“Saya sangat gembira. Terima kasih kepada DYAM Tunku Ismail, mustahil tanpa baginda. Baginda sentiasa tahu cara untuk memotivasikan pemain.
“Saya gembira dengan pemain, sangat baik dan beraksi sehabis mungkin. Saya juga gembira kerana kerja keras pemain setiap hari dan inilah hadiah untuk mereka,” jelasnya.
Pengendali kelahiran Argentina itu juga gembira apabila para pemainya berada dalam momentum terbaik untuk terus menekan lawan sehingga tamat permainan.
“Kita beraksi baik pada dua-dua babak namun pada babak kedua, kita kadangkala tidak mengawal bola namun mengawal permainan. Pemain JDT beraksi dengan begitu bijak.
“JDT sentiasa tahu cara untuk beraksi di final. Saya tidak mahu mengatakan ini aksi terbaik kami kerana ini final, ia sentiasa hangat.
“Dalam fikiran saya hanya memikirkan kemenangan, saya percaya kepada semua pihak, pemain dan bos kami iaitu Tunku Ismail. Jika perlawanan berlangsung lagi 10 minit, mungkin JDT akan terus menjaringkan gol,” jelasnya selepas perlawanan.
“JDT sentiasa menyerang, itulah filosofi kami. Tidak kisahlah berapa pun keputusan perlawanan, kita akan sentiasa menyerang. Bagi saya, pemain memberikan aksi terbaik pada malam ini.
JDT akan menyambung semula perjalanan Liga Super pada 13 September 2024 menentang Penang manakala Selangor akan berdepan Kuching City pada hari yang sama.