Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan menyifatkan kesukaran Malaysia bila berdepan pasukan yang menduduki ranking rendah seperti Kemboja dan Timor Leste tidak sepatutnya berlaku.
Dua aksi awal Kumpulan A ASEAN Championship 2024 menyaksikan Harimau Malaya bergelut mendapatkan mata.
Aksi pertama di Phnom Penh pada 8 Disember lalu menyaksikan anak buah Pau Marti Vicente diikat 2-2 oleh Kemboja. Ini kali pertama Harimau Malaya diikat The Koupreys sejak tahun 1970.
Ini disusuli kemenangan tipis 3-2 ke atas Timor Leste pada 11 Disember lalu. Dua gol Paulo Josue memastikan Harimau Malaya meraih tiga mata pertama dalam Kumpulan A.
Razman menyifatkan situasi ini perlu segera diubah menjelang aksi ketiga kumpulan menentang Thailand pada 14 Disember ini.
Ini kerana skuad Gajah Perang tidak akan memberi ruang buat Harimau Malaya untuk bangkit seperti yang dipamerkan dalam dua aksi sebelumnya.
“Bagi saya, kerana kita ketinggalan (dengan Timor Leste). Itu yang berlaku di Kemboja di tempoh hari di mana kita ketinggalan, baru kita bangkit dan mengubah corak permainan agar lebih menekan dan menyerang untuk mendapatkan jaringan.
“Saya nak syorkan benda ini sebenarnya tak berlaku. Kita kalau bertemu pasukan yang lebih besar, kita akan berdepan kesukaran,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Razman turut menyifatkan sebarang perancangan untuk menyerang dan menekan pihak lawan perlu diaplikasikan sejak dari awal permainan lagi. Ini kerana kelewatan memanfaatkan strategi tersebut boleh menyukarkan Harimau Malaya di kemudian hari.
“Kita sudah bincang dari awal, kita sepatutnya memberi tekanan kepada pasukan lawan sejak dari awal permainan. Kita tak boleh menunggu bila ketinggalan, baru nak begitu.
“Bermain dengan Timor Leste dan Kemboja, kita mungkin boleh mendapat gol kemenangan. Tapi (berdepan) pasukan besar seperti Thailand selepas ini dan Singapura, mungkin agak sukar,” ujarnya.
Malaysia dijangka tempang tanpa beberapa tonggak menjelang aksi di Stadium Rajamangala. Antara pemain yang dijangka terlepas aksi berkenaan akibat kecederaan ialah Syafiq Ahmad, Fergus Tierney dan Darren Lok.