Skuad Indonesia Bawah 17 Tahun (B-17) mengejutkan India dengan meraih kemenangan 3-1 di Stadium Kapten I Wayan Dipta.
Perlawanan ini merupakan sebahagian daripada persiapan kedua-dua pasukan untuk mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2025 yang bermula pada Oktober ini.
Indonesia yang dibimbing Nova Arianto pantas melancarkan serangan ke arah India sebaik perlawanan bermula.
Dan kem tuan rumah ceria apabila Indonesia dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-15. Ini selepas pengadil mengesan Mierza Firjatullah dijatuhkan Mohammed Kaif dalam kotak penalti.
Lantaran itu, Kaif dilayangkan kad kuning oleh pengadil atas tindakannya itu. Penalti tersebut mudah disempurnakan Evandra Florasta untuk meletakkan Garuda Muda di hadapan.
India hampir menyamakan lapan minit selepas itu menerusi Bharat Lairenjam. Malangnya, percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Indonesia, Dafa Setiawarman.
The Blue Colts terus memberi tekanan kepada barisan pertahanan Indonesia. Walau bagaimanapun, barisan pertahanan Garuda Muda kental mempertahankan kelebihan 1-0 sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, India yang dibimbing Ishfaq Ahmad sekali lagi nyaris menembusi gawang Indonesia menerusi sepakan lambung Vishal Yadav. Malangnya, percubaan beliau ke arah gol Indonesia tidak menepati sasaran.
Kegagalan menyempurnakan peluang demi peluang mengakibatkan The Blue Colts dihukum Garuda Muda pada minit ke-51. Aheibam Suraj Singh berjaya menepis percubaan Mierza tetapi bola muntah yang terhasil mudah ditolak Fandi Ahmad.
Levis Zangminlun merapatkan jurang buat India dua minit selepas itu. Selepas menyaksikan sepakannya terkena tiang, Zangminlun memastikan rembatan keduanya menerjah jaring.
Keceriaan kem India tidak bertahan lama. Mierza terus menjadi duri dalam daging kepada barisan pertahanan pelawat dengan meledakkan gol kedua peribadinya pada minit ke-62.
Gol tersebut memastikan Indonesia meraih kemenangan 3-1 kepada pelawat. Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di stadium yang sama untuk aksi persahabatan kedua pada 27 Ogos ini.