Dua negara Timur Tengah iaitu Lubnan dan UAE bakal menjadi lawan skuad Malaysia dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-17 pada Oktober nanti.
Majlis undian yang dijalankan pada Khamis menyaksikan skuad muda negara yang dibimbing oleh Javier Jorda Ribera diletakkan di dalam kumpulan H bersama-sama Lubnan dan juga Emeriah Arab Bersatu (UAE).
Selain itu, Laos turut diundi bersama Malaysia di kumpulan ini dan telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi aksi kelayakan yang akan berlangsung dari 19 hingga 27 Oktober hadapan.
Dalam edisi Piala Asia yang lalu, skuad negara yang ketika itu dibimbing oleh Osmera Omaro menamatkan saingan di peringkat kumpulan setelah hanya mencatatkan satu kemenangan dan dua kekalahan untuk berada di tempat ketiga kumpulan.
Terdahulu, Javier Ribera telah mengumumkan seramai 29 pemain yang mengikuti kem latihan kebangsaan B-17 dengan pemain dari Johor Darul Tak’zim (JDT) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mendominasi senarai tersebut.
Kem latihan ini sebagai persiapan buat skuad muda negara sebelum turun beraksi dalam Kejuaraan B-16 Asean 2024 yang bakal membuka tirai pada 21 Jun ini di Surakarta, Indonesia.
Malaysia akan membuka saingan Kumpulan C dengan menentang Timor Leste pada 23 Jun 2024 (Ahad); Australia pada 26 Jun 2024 (Rabu) di Stadium Sriwedari dan Thailand pada 29 Jun 2024 (Sabtu) di Stadium Manahan.