Skuad Muda Laos Bangkit Kalahkan Singapura
MakanBola
Lao FF

Skuad Laos Bawah 16 Tahun (B-16) bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Singapura 2-1 dalam aksi kedua Kumpulan A Kejuaraan B-16 ASEAN 2024.

Kedua-dua pasukan ini turun di Stadium Manahan, Surakarta dengan misi berbeza. Laos perlu menang untuk meningkatkan peluang bergelar juara Kumpulan A.

Sementara Singapura yang dibimbing Angel Toledano pula perlu menang jika ingin menghidupkan peluang mara ke separuh akhir. Ini selepas pasukan itu tewas kepada Indonesia dalam aksi awal Kumpulan A.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan tampil garang untuk mendapatkan kelebihan gol awal.

Laos bernasib malang apabila pengadil Jepun, Koji Takasaki mengesan kekasaran yang dilakukan penjaga gol, Anouxay Sivanthong ke atas penyerang Singapura, Muhd Helmi Shahrol dalam kotak penalti.

Penalti itu mudah disempurnakan Andy Reefqy untuk meletakkan The Cubs di hadapan pada minit ke-12.

Keceriaan kem Singapura tidak bertahan lama apabila Takasaki kemudiannya mengesan Sikanda Xaisongkham dijatuhkan dalam kotak penalti Singapura. Penalti itu disempurnakan oleh peledak Laos, Phayak Siphanom pada minit ke-19 untuk menjadikan kedudukan 1-1.

The Cubs bernasib baik tidak ketinggalan apabila rembatan kencang Kadam Koneyer pada minit ke-31 terkena tiang sebelum dikeluarkan barisan pertahanan.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mendapatkan gol tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan asakan untuk memburu gol tambahan.

Giliran Laos pula mendahului pada minit ke-56 menerusi rembatan kencang Bounpaseut Sengsavang yang menewaskan penjaga gol Singapura, Jarec Ng Rui Lemu.

The Cubs hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak jauh Harith Danish pada minit ke-59. Malangnya, rembatannya hanya mengenai palang.

Toledano kemudiannya membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat mengubah kembali momentum perlawanan memihak kepada Singapura.

Singapura menyangka mendapat talian hayat apabila dianugerahkan sepakan percuma tidak terus oleh Takasaki. Hasrat Andy menambah gol hampa apabila sepakannya hanya melepasi palang pada minit ke-72.

Singapura terus mengasak tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Laos kembali menduduki tangga teratasu Kumpulan A dengan enam mata.

Kedudukan ini boleh saja berubah sekiranya Indonesia meraih kemenangan ke atas Filipina dalam satu lagi aksi kumpulan. Sementara Singapura pula tersingkir daripada kejohanan.

Selepas ini, Indonesia dan Laos bakal berentap pada 27 Jun. Sementara Filipina dan Singapura bakal bersaing dalam satu lagi aksi kumpulan pada hari sama.