Skuad Muda Malaysia ‘Baham’ Brunei 11-0
MakanBola
FA Malaysia

Skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) membuka kempen Kejuaraan ASEAN B-19 2024 dengan langkah kanan apabila membelasah Brunei 11-0 dalam aksi pertama Kumpulan C.

Malaysia selaku juara bertahan edisi 2022 dilihat pasukan pilihan untuk perlawanan ini. Sementara Brunei pula berharap dapat mengekang anak buah Juan Torres Garrido daripada meraih kemenangan besar.

Hajat Tabuan Muda tidak bolos awal tidak kesampaian apabila penyerang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II, G. Pavithran meledakkan gol pertama seawal minit kedua.

Ad

Ridzwan Rosli menggelecek beberapa pemain Brunei sebelum melorongkan bola ke dalam kotak penalti. Bola tersebut mudah ditolak Pavithran yang menewaskan penjaga gol, Mohd Waie Haziq Wardun.

Ad

Harimau Muda makin selesa di hadapan menerusi peledak JDT IV, Abid Safaraz Rozaidi pada minit ke-15. Abid mudah menanduk hantaran sepakan sudut Danial Mohd Nor yang menerjah penjuru atas jaring.

Bisa penyerang berusia 17 tahun itu semakin terserlah apabila melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti seminit selepas itu.

Ad
Ad

Malaysia semakin dominan dengan menyumbat gol keempat menerusi Danish Hakimi Sahaludin pada minit ke-25. Danish melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang gagal disekat Waie Haziq.

Ad

Anak buah Garrido menambah menerusi Haykal Danish Mohd Haizon dan Pavithran masing-masing pada minit ke-42 dan 44. Keputusan 6-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Malaysia terus menggandakan asakan agar memiliki kelebihan jaringan untuk menerajui Kumpulan C.

Harimau Muda diberi sepakan penalti selepas pengadil Filipina, Clifford Daypuyat mengesan kekasaran ke atas pemain negara dalam kotak penalti. Penalti itu mudah disempurnakan Izzat Syahir Mohd Zulihsan pada minit ke-51.

Malaysia semakin dominan dengan meledakkan gol kelapan pada minit ke-66 menerusi Amir Farhan Mohd Fuzi. Dengan kelebihan lapan gol yang dimiliki, ini memberi ruang kepada Garrido membuat beberapa pertukaran pemain.

Skuad muda negara terus melebarkan kelebihan mereka menerusi Zamirul Hakim Mohamad Khair pada minit ke-73.

Kesilapan komunikasi membabitkan pertahanan Tabuan Muda membuka ruang buat Abid mencipta hatrik pada minit ke-79. Shafizan Arshad menambah gol ke-11 Harimau Muda menerusi tolakan mudah pada minit ke-81.

Keputusan 11-0 memastikan Malaysia menerajui Kumpulan C dengan kelebihan jaringan yang besar. Selepas ini, skuad negara bakal berdepan Singapura pada 22 Julai.

Sementara Brunei pula mengharapkan kekalahan besar yang dialami di tangan Harimau Muda tidak berulang apabila mereka menentang Thailand pada hari yang sama.