Selangor FC berpotensi menghantar skuad muda mereka beraksi dalam saingan liga Singapura.
Kemungkinan itu dinyatakan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Dr. Johan Kamal Hamidon apabila diajukan persoalan itu oleh media.
Johan memaklumkan situasi itu mungkin berlaku seandainya saingan Piala MFL tidak dianjurkan pada musim hadapan.
“Kita perlu teroka (kemungkinan itu) sebab kita ada satu skuad yang mungkin tiada tempat nak main, kalau tiadalah. Kalau ada, kita terus ikut sahaja.
“Sebab kita sudah tandatangani pemain. Dan kita difahamkan ada pasukan yang tiada atau tiada perancangan nak sertai. Kita tak tahu pendirian rasmi MFL tentang hal ini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan mereka telah membuka permohonan kepada kelab-kelab yang berminat mengisi slot pasukan ke-10 Singapore Premier League (SPL).
Langkah ini bertujuan menambah kualiti pertandingan tersebut menjelang musim 2025/26. Kelab-kelab yang berminat boleh menyatakan minat secara e-mel kepada FAS sebelum 14 Mac ini.