Peminat bola sepak Singapura bakal melihat kehadiran kelab baru untuk mewarnai saingan Singapore Premier League (SPL).
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan jemputan Request for Proposal (RFP) kepada kelab-kelab yang berminat menjadi pasukan ke-10 SPL untuk musim 2025/26.
Pengumuman ini mirip dengan apa yang diumumkan FAS pada tahun 2023. Walau bagaimanapun, badan induk bola sepak Singapura itu tidak menambah pasukan baru dalam saingan SPL musim 2024/25.
FAS berbuat demikian kerana mahu menambah baik kualiti SPL termasuk menarik lebih ramai pemain berbakat terutama pemain tempatan beraksi di liga berkenaan.
Ketika ini, SPL memiliki sembilan pasukan termasuk dua pasukan jemputan, DPMM (Brunei Darussalam) dan Albirex Niigata Singapore.
Walau bagaimanapun, Albirex Niigata Singapore mengambil langkah menggunakan majoriti pemain Singapura bermula pada musim 2024/25.
Antara aspek yang dinilai FAS dalam kertas cadangan kelab-kelab yang berminat ialah pemilikan kelab, pelan kewangan dan struktur teknikal untuk pasukan lelaki, wanita dan remaja.
Kelab yang berminat juga perlu menunjukkan komitmen untuk melihat pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang SPL.
Selain itu, kertas cadangan yang dikemukakan hendaklah mengikut peraturan SPL dan Peraturan Lesen Kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Kelab-kelab yang berminat diminta menyatakan minat mereka secara e-mel kepada FAS sebelum 6.00 petang, 14 Mac ini.
Kehadiran pasukan jemputan dalam saingan SPL bukan perkara baru sejak ia dibentuk di bawah nama S-League pada tahun 1996.
Antara pasukan jemputan antarabangsa yang pernah memeriahkan saingan SPL ialah Etoile, Sporting Afrique dan Beijing Guoan Talent.
Malah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menghantar Harimau Muda A dan Harimau Muda B menyertai SPL masing-masing pada 2012 dan 2013-2015.