Tajikistan memulakan saingan Kelayakan Piala Asia Bawah 17 dengan melakar rekod baharu buat Asia apabila membelasah Guam 33-0.
Diundi di kumpulan J, Tajikistan dijadualkan bertemu Guam di aksi pertama tatkala tuan rumah kelayakan, Singapura pula berdepan ujian jaguh dari Teluk Tengah, Oman.
Di babak pertama, Tajikistan bermula garang apabila Nazrullo Ashuralizoda menyumbat 5 gol di minit ke-6, 10, 30, 39 dan 45 sementara Muhammad Nazriev meledak 4 jaringan pada minit ke-5, 12, 22 dan 38.
Jafoev Umed pula mencetak hatrik di minit ke-20, 23 dan 32 sementara Parviz Bobonazarov dan Haidarsho Khudoidodov masing-masing meledak dua gol pada minit ke-2, 25, 41 dan 42.
Satu jaringan oleh Abdusamad Melikmurodov melengkapkan 17 gol yang dijaringkan Tajikistan sepanjang 45 minit pertama mengatasi Guam.
Kembali dari bilik persalinan, Nazriev memberi mimpi ngeri buat penjaga gol Guam, Reburiano dengan tambahan 10 gol peribadi pada minit ke-49, 50, 55, 58, 63, 66, 73, 76, 82 dan 83.
Skuad muda Tajikistan terus berpesta jaringan dengan dua gol disumbangkan oleh David Maskudov pada minit ke-67 dan 72 di pertengahan aksi babak kedua berlangsung.
Selain itu, Ashuralizoda, Mehrojidin Rozykov, Mirahmadov Muhammadjon dan Asadbek Makhtumov masing-masin menyumbang satu gol di minit ke-52, 62, 70 dan juga 77.
Aksi di Stadium Bishan berakhir dengan rekod baharu Asia iaitu kemenangan 33-0 buat Tajikistan.
Selepas ini, Tajikistan bakal bertemu Singapura manakala Guam berdepan ujian hebat dari Oman pada 25 Oktober hadapan.