Skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) berjaya merantai wakil Asia Tengah, Tajikistan B-16 dalam satu aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Pasir Gudang.
Perlawanan ini merupakan sebahagian daripada persiapan kedua-dua pasukan untuk menghadapi kelayakan Piala Asia B-17 2025. Malaysia berada dalam Kumpulan H dengan Tajikistan dalam Kumpulan J.
Selepas tewas 2-1 dalam aksi pertama persahabatan di Stadium Ungku Tun Aminah pada 15 Oktober lalu, skuad negara yang dibimbing Javier Jorda Ribera bangkit dalam aksi kedua.
Corak permainan skuad negara yang lebih kemas menyaksikan Tajikistan berdepan kesukaran menembusi pertahanan. Dan ini membantu Malaysia mengikat Tajikistan 1-1 sehingga tamat perlawanan.
25 pemain negara telah menyertai kem latihan pusat yang diadakan di Pasir Gudang, Johor sejak 7 Oktober lalu.
10 pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan sembilan pemain muda Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) membentuk teras utama pasukan. Skuad Malaysia B-16 turut diperkuat dua pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Kaveen Waran dan Kim Johan Nyo Tegnander.
Malaysia membuka tirai kempen Kumpulan H dengan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 23 Oktober. Ini disusuli aksi menentang tuan rumah Laos pada 27 Oktober.