Skuad Sepak Takraw Thailand Bakal Ambil Langkah Terdesak
UltraSukan
MSN Malaysia

Prestasi kurang memberangsangkan skuad sepak takraw Thailand sejak tahun 2025 bakal menyaksikan perubahan pada tampuk kejurulatihan pasukan itu.

Wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi melaporkan perejam legenda Thailand, Pornchai Kaokaew bakal memikul tugas sebagai ketua jurulatih baharu skuad sepak takraw negara itu.

Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT) dijangka mengumumkan pelantikan beliau pada 25 Mei ini. Langkah ini dilihat ada kaitan dengan prestasi kurang memberangsangkan Thailand di peringkat antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Meskipun berjaya merampas gelaran juara dunia regu daripada Malaysia, Thailand gagal mengekalkan gelaran juara dunia untuk acara berpasukan dalam saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2026.

Temasya Sukan SEA 2025 pula menyaksikan Thailand meraih pingat perak dalam acara berpasukan lelaki dan gangsa acara regu lelaki. Lebih pahit, acara regu lelaki temasya itu menyaksikan Thailand kecundang di tangan Vietnam di peringkat separuh akhir.

Acara kuadran lelaki turut menyaksikan skuad sepak takraw negara itu terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Justeru, sekiranya pelantikan Pornchai menjadi kenyataan, kehadiran beliau berpotensi memberi nafas baharu kepada skuad sepak takraw Thailand untuk bangkit di pentas antarabangsa.

Selepas ini, fokus Thailand ialah mempertahankan gelaran juara Piala Raja Thai dan temasya Sukan Asia 2026 di bumi Jepun.