Advertisements
Son Heung-min Harap Kim Pan-gon Kekal Kemudi Malaysia
Asia
MakanBola
AFC Asian Cup

Kapten pasukan Korea Selatan, Son Heung-min memuji semangat juang yang dipamerkan anak buah Kim Pan-gon ketika aksi terakhir peringkat Kumpulan E antara Malaysia dan Korea Selatan malam semalam.

Bintang Totenham Hotspurs itu akui Malaysia bermain dengan amat baik dan tak mudah menyerah biarpun pada satu ketika Malaysia ketinggalan 3-2 kepada Korea Selatan. Jaringan penyerang gantian, Romel Morales telah menjulang Harimau Malaya untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri berdepan pasukan gergasi yang berada di ranking ke-23 dunia.

“Bagi saya ia satu keputusan yang sukar untuk diterima. Malaysia bermain dengan cukup hebat dan mereka berjuang hingga ke wisel penamat.”

Son dalam pada itu menuntut agar rakan sepasukannya dapat memperbaiki beberapa kelemahan sebelum turun beraksi di pusingan kalah mati Piala Asia 2023. Bagi Son, setiap posisi dalam pasukan Korea Selatan tidak kiralah barisan pertahanan atau menyerang, semuanya perlu dipertingkatkan.

“Saya gembira untuk Malaysia namun bagi pasukan kami (Korea Selatan) kita perlu banyak melakukan perubahan dan banyak yang perlu dipertingkatkan, bahagian menyerang, bertahan kita perlu lakukan lebih baik.”

Ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemian berusia 31 tahun ini berpandangan Kim Pan-gon perlu kekal untuk mengemudi skuad kebangsaan Malaysia.

Beliau yakin dengan kebolehan serta kebijaksaan Kim Pan-gon, mutu bola sepak Malaysia akan terus meningkat pada masa yang akan datang.

“Saya ada hubungan yang baik dengan Kim Pan-gon. Kami pernah bekerja bersama pada tahun-tahun sebelum ini, beliau seorang jurulatih yang hebat dan memberikan sepenuh jiwa untuk bola sepak.”

“Saya gembira dan bangga melihat beliau bersama pasukan Malaysia dan saya berharap Kim Pan-gon akan tetap berkhidmat untuk Malaysia dan mempertingkatkan mutu bola sepak di Malaysia,” ujar Son ketika ditemu bual Astro Arena selepas perlawanan.

Bahrain, Korea Selatan dan Jordan menjadi wakil Kumpulan E yang berjaya mara ke pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023. Bahrain bakal berdepan Jepun pada 31 Januari, Korea Selatan akan menentang Arab Saudi pada 30 Januari dan Jordan dijadualkan bertemu Iraq pada 29 Januari 2024.