Advertisements
Son Heung-min Tak Diturunkan Lawan Malaysia?
Asia
MakanBola
FA Korea

Kapten pasukan Korea Selatan, Son Heung-min berkemungkinan besar tidak akan diturunkan berdepan Malaysia bagi aksi AFC Asian Cup malam ini.

Pemain berusia 31 tahun itu merupakan watak penting buat pasukan kendalian Jurgen Klinsmann apabila merekodkan kemenangan bersih dalam dua aksi pembukaan.

Khidmat beliau bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan untuk diturunkan tatkala pengendali kelahiran Jerman itu mempunyai perancangan tersendiri menjelang pertemuan dengan Harimau Malaya.

Media Korea Selatan kini mula memberi bayangan bahawa rombakan dalam skuad utama bakal diadakan dengan berkemungkinan beberapa watak penting akan direhatkan.

Hal ini susulan masing-masing memiliki layangan satu kad kuning dan bakal terlepas aksi pusingan kalah mati sekiranya dilayangkan kad ketika bertemu Malaysia.

“Seramai 7 orang mempunyai satu kad kuning termasuklah Son Heung-min (Tottenham), Kim Min-jae (Bayern Munich), Park Yong-woo (Al-Ain), Jo Gyu-sung (Mitwillan), Lee Ki-je (Suwon) diberi amaran pada perlawanan pertama manakala Hwang In-beom (Zvezda) dan Oh Hyun-gyu (Celtic) dalam perlawanan kedua menentang Jordan,” ujar Sports Chosun.

Sekiranya dua amaran terkumpul, pemain tidak dapat bermain dalam permainan seterusnya dengan kebimbangannya ialah Son Heung-min, Kim Min-jae, dan Hwang In-beom merupakan tunjang utama buat pasukan Taeguk Warriors pada kempen di Qatar.

Korea Selatan bagaimanapun memiliki rekod pertemuan baik dengan jurang perbezaan ranking (ke-22 dunia) dengan Malaysia (ke-130 dunia) menceritakan segalanya.

Skuad kebangsaan bagaimanapun optimis untuk mencuri tambahan +29.79 mata FIFA sekiranya berjaya mengejutkan lawan pada aksi di Stadium Al-Janoub, Qatar.