Kelab gergasi Portugal, Sporting CP meraih laba bernilai €14 juta (RM66 juta) disebabkan usaha Man Utd mendapatkan pengurus mereka, Ruben Amorim.
Selepas memilih memecat pengurus Belanda, Erik ten Hag, pengurusan The Red Devils memilih Amorim sebagai calon utama untuk mengisi kerusi panas di Old Trafford.
Walau bagaimanapun, Sky Sports mendedahkan United perlu membayar klausa pelepasan kontrak jurulatih berusia 39 tahun itu sebanyak €10 juta (RM47 juta).
Selain pampasan untuk Amorim, United juga perlu membayar lebih €4 juta (RM19 juta) untuk staf-staf yang bakal mengikuti beliau ke Old Trafford. Antara staf yang mahu dibawanya ialah Carlos Fernandes, Adelio Candido dan jurulatih penjaga gol, Jorge Vital.
Menurut wartawan Sky Sports, Kaveh Solhekol, langkah ini dibuat bertujuan memastikan Sporting berhak mendapat penghormatan setaraf dengan status mereka sebagai antara kelab gergasi Portugal dan Eropah.
“Sporting tidak akan melepaskan Amorim pergi tanpa mereka rasa dihormati dan kemahuan mereka diambil kira dalam pertimbangan (United).
“Ada klausa pelepasan €10 juta. United kata mereka akan membayarnya. Tetapi beliau juga mempunyai notis 30 hari dalam kontraknya.
“Sporting secara ideal mahu beliau kekal untuk tempoh 30 hari. Dan juga, beliau mahu membawa tiga jurulatih Sporting ke Manchester bersamanya. Untuk itu, Sporting perlu diberi pampasan (untuk hal berkenaan),” katanya.
Sekiranya United bersetuju dengan tuntutan notis 30 hari Sporting, maka Ruud van Nistelrooy bakal menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih interim untuk empat perlawanan.
Selepas meraih kemenangan 5-2 ke atas Leicester City dalam Carabao Cup, legenda United itu dijangka mempersiapkan pasukan untuk aksi menentang Chelsea pada awal pagi 4 November.
Ini disusuli aksi Liga Europa UEFA (UEL) menentang PAOK pada awal pagi 8 November. Aksi liga menentang Leicester pada 10 November dijangka aksi terakhirnya sebagai pengurus interim sebelum menyerahkan tugas kepada Amorim.