Sri Pahang FC terpaksa menghadapi aksi final Unifi Piala Malaysia tanpa kelibat peledak utama mereka, Kpah Sherman.
Khidmat penyerang Liberia berusia 33 tahun itu terpaksa dilupakan Tok Gajah kerana perlu menjalani penggantungan perlawanan.
Ini kerana Sherman sudah mengutip kad kuning kedua dalam aksi separuh akhir kedua Unifi Piala Malaysia menentang Sabah FC pada 3 Februari lalu.
Perkara ini turut diakui pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad. Atas sebab itu, Fandi berharap keputusan tersebut dapat dirayu bagi membolehkan Sherman beraksi di pentas final.
“(Tugas) berat ini. Kita ada dua penggantungan pemain sekarang. Kpah (Sherman) kena kad kuning kedua. Kita nak cuba buat satu rayuan,” katanya selepas perlawanan semalam.
Fandi turut melihat ketiadaan Sherman sedikit sebanyak menjejaskan persiapan Sri Pahang ke final Unifi Piala Malaysia.
“Kita pasti merayu, kita akan usahakan. Sebab dia bermain dari awal hingga akhir ini. Kalau tak main di final, tak cantiklah,” tambahnya.
Sherman bukan satu-satunya pemain Sri Pahang yang perlu menjalani penggantungan untuk aksi final Unifi Piala Malaysia. Seorang lagi tonggak import yang perlu menjalani penggantungan ialah Manuel Hidalgo.
Hidalgo turut menjalani penggantungan perlawanan selepas dibuang padang dalam aksi separuh akhir pertama menentang Sabah pada 18 Januari lalu.