Tonggak import Sri Pahang FC dari Argentina, Stefano Brundo percaya pasukan itu memiliki momentum untuk menamatkan kemarau kemenangan dalam Liga Super.
Enam aksi awal liga menyaksikan pasukan yang dibimbing Fandi Ahmad itu hanya merekodkan satu kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan.
Satu-satunya kemenangan Tok Gajah diraih semasa menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 11 Mei lalu. Kemenangan itu diraih menerusi sepakan cantik Manuel Hidalgo.
Meskipun berjaya mencuri satu mata ketika menentang KL City FC dan Selangor FC, Brundo merasakan itu tidak cukup untuk membantu Sri Pahang memperbaiki kedudukan dalam liga.
Pada masa sama, beliau percaya dua keputusan berkenaan mampu dijadikan asas Sri Pahang untuk kembali meraih kemenangan bila berdepan Sabah di Temerloh.
“Tahap keyakinan itu masih ada dan walaupun seri dalam dua perlawanan terdahulu, tetapi itu adalah perlawanan yang cukup mencabar untuk kami berdepan kelab yang besar seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
“Ini membuktikan kami masih ada semangat yang tinggi untuk menampilkan persembahan yang lebih baik dan saya sendiri gembira apabila sekurang-kurangnya dapat jaringkan satu gol untuk kelab pada minggu lalu.
“Tetapi apa pun, malam esok adalah misi yang cukup penting untuk kita berusaha sehabis baik bagi menewaskan Sabah,” katanya.
Perlawanan ini juga dilihat peluang buat Tok Gajah menamatkan rekod tanpa kalah Sang Badak ke atas pasukan itu. Kali terakhir kemenangan dikecapi Sri Pahang ke atas Sabah pada 16 Mac 2021.
Yevhen Bokashvili dan Lee Tuck mencetak nama sebagai penjaring Tok Gajah dalam perlawanan itu. Sementara Saddil Ramdani menyumbat gol saguhati buat Sang Badak.
Sri Pahang bakal berentap dengan Sabah di Temerloh untuk minggu hari perlawanan kelapan Liga Super.