Aksi di Stadium Temerloh Pahang hari ini membabitkan pertembungan antara pasukan Sri Pahang dan Selangor.
Sri Pahang dibawah kendalian Fandi Ahmad dalam misi mengekalkan rekod tanpa kalah berdepan Selangor di laman sendiri. Anak buah Nidzam Jamil pula dalam misi mencatat kemenangan seterusnya dalam kempen Liga Super Malaysia 2014/2025.
Aksi di separuh masa pertama bermula dengan jaringan pembukaan berjaya dihasilkan pasukan pelawat. Pemain sayap Selangor, Alvin Fortes menyempurnakan lorongan daripada Sharul Nazeem untuk gol pertama perlawanan.
Sri Pahang bagaimanapun tidak mudah mengalah apabila melancarkan beberapa siri serangan untuk mendapatkan gol penyamaan.
Stefano Brundo akhirnya melegakan hati seluruh peminat Sri Pahang apabila beliau menjaringkan gol penyamaan sebelum tamat aksi separuh masa pertama. Babak pertama perlawanan berakhir dengan keputusan Sri Pahang 1-1 Selangor.
Bersambung aksi di babak kedua permainan, beberapa pertukaran mula dilakukan kedua-dua pengendali pasukan.
Pada minit ke-63 permainan, import Sri Pahang Mykola Agapov dilayakan kad merah oleh pengadil perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning. Terjahan yang dilakukan Mykola terhadap Yohandry Orozco telah dikesan pengadil perlawanan.
Selangor dan Sri Pahang masing-masing mencuba mencari jaringan tambahan. Hingga ke minit akhir permainan, keputusan kekal hingga wisel penamat dibunyikan pengadil. Aksi tamat, Selangor dan Sri Pahang catat keputusan seri 1-1.
Perlawanan seterusnya menyaksikan Sri Pahang bakal berdepan cabaran pasukan Sabah pada Jumaat, 9 Ogos 2024 sementara Selangor akan menghalakan fokus kepada kempen Piala FA 2024. Selangor bakal bertemu Terengganu pada Ahad, 3 Ogos 2024 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.