Kerja-kerja untuk merobohkan Stadium Shah Alam bagi tujuan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sudah pun dimulakan.
Menerusi beberapa laporan terkini, kerja-kerja meroboh Stadium Shah Alam akhirnya bermula selepas syarikat pemaju mendapat permit kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Sebelum ini, tular mengenai proses perobohan yang tertangguh susulan tidak mendapat kelulusan daripada pihak majlis bandaraya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Ts Saipolyazan M Yusop dalam satu hantaran di laman sosial beliau berkongsi tentang keadaan terkini kerja-kerja perobohan stadium.
Beliau juga sempat singgah ke Stadium Shah Alam bagi melihat kerja perobohan yang dijadualkan bermula pada 1 Julai 2024.
“Saya mengarahkan pasukan projek dan kontraktor memastikan parameter pemantauan seperti bunyi, habuk, air, trafik dan lain-lain sentiasa dipantau.
“Ini bagi memastikan seminimum gangguan kepada penduduk sekitar,” katanya dalam satu perkongsian menerusi Facebook hari ini.
Pembangunan KSSA yang bakal menelan belanja sekitar RM800 Juta itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bertaraf tinggi seperti pusat latihan, fasiliti sukan, stadium dengan kemudahan canggih bertaraf dunia.

Bukan itu sahaja, KSSA akan menggunakan bentuk padang retractable pitch (padang boleh alih) serta disokong pembinaan hotel, pusat beli-belah serta bangunan komersial yang boleh menjana ekonomi.
Sebuah pusat teater tertutup untuk aktiviti kebudayaan dan konsert serta rekreasi turut bakal dibina sekaligus menjadikan ia lebih mesra untuk seisi keluarga selain Pasar Ahad turut dimodenkan.
Fasa pertama stadium dijangka siap pada penghujung 2026 dengan stadium, plaza parkir dan Terminal Pengangkutan Bersepadu dan Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bakal beroperasi untuk memudahkan kehadiran orang ramai ke sana.
Pembangunan komersial pula bakal berlangsung pada fasa dua membabitkan pembinaan sayap sukan, sayap belia, teater tertutup dan taman rekreasi pula mengambil tempat sebelum siap pada 2028.