Star City Warnai Kelincahan Liga Malaysia
MakanBola
IFC CORP

Kelab bola sepak Imigresen kini dijenamakan semula sebagai Star City bagi saingain Liga Malaysia musim 2026/2027.

Penjenamaan semula Imigresen diumumkan oleh kelab tersebut menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka pada Rabu.

Pengurusan tertinggi IFC CORP dengan penuh rasa bangga mengumumkan bahawa satu keputusan bersejarah telah dicapai secara sebulat suara untuk menjenamakan semula Imigresen Football Club (IFC) kepada Star City Football Club (SCFC), berkuat kuasa serta-merta. Penjenamaan semula ini dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2026/2027.

Langkah ini menandakan bermulanya era baharu dalam usaha membangunkan sebuah kelab bola sepak yang lebih profesional, progresif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi jangka panjang kelab untuk muncul sebagai antara pasukan bola sepak terkemuka di Malaysia.

Nama Star City FC dipilih berinspirasikan Alor Setar, ibu negeri Kedah Darul Aman. Perkataan “STAR” melambangkan kedudukan Alor Setar sebagai nadi sejarah, pentadbiran dan pembangunan negeri, manakala “CITY” pula mencerminkan identiti sebuah kelab moden yang berani melangkah ke hadapan dengan visi serta cita-cita yang lebih besar.

Walaupun tampil dengan identiti baharu, Star City FC akan terus berpangkalan di Alor Setar dan kekal menjadi lambang kebanggaan rakyat Kedah serta seluruh warga utara tanah air.

Seiring dengan penjenamaan ini, kelab turut memperkenalkan moto rasmi “The Pride of the North”, yang melambangkan semangat juang, kebanggaan dan identiti wilayah utara. Komuniti penyokong rasmi kelab pula akan dikenali sebagai “The Northern Stars”, sebagai simbol perpaduan, kesetiaan dan kekuatan sokongan dalam mengangkat nama kelab ke tahap yang lebih tinggi.

Star City FC bukan sekadar nama baharu, tetapi merupakan manifestasi kepada identiti, visi dan cita-cita baharu yang menjadi pemacu kepada masa depan kelab. Dengan semangat baharu ini, kelab menyeru seluruh rakyat Kedah, warga utara serta pencinta bola sepak Malaysia untuk bersama-sama menjadi sebahagian daripada perjalanan bersejarah ini dalam mencipta kejayaan dan membina legasi yang akan terus dibanggakan oleh generasi akan datang.

Star City dijangka bakal membawa masuk beberapa pemain bernama besar selepas berjaya melantik ketua jurulatih yang berpengalaman dalam kancah saingan Liga Malaysia iaitu Mehmed Durakovic.