Malaysia mempamerkan statistik yang cukup menggiurkan berdepan pasukan ke-94 dunia, Syria sekaligus menyaksikan pasukan negara mencuri mata FIFA yang amat penting.
Perhatian menyeluruh tertumpu kepada bagaimana skuad kebangsaan menunjukkan kemampuan untuk bangkit memperoleh dua gol setelah ketinggalan.
Hal ini juga dibuktikan menerusi catatan statistik yang membuktikan kualiti dan dominasi Malaysia ke atas negara Asia Barat itu.
Berdasarkan statistik yang dikongsikan oleh RTM, Harimau Malaya sudah pun mendominasi perlawanan pada babak pertama sungguhpun ketinggalan dua gol.
Malaysia mencatatkan penguasaan bola sebanyak 65 peratus berbanding Syria dengan hanya 35 peratus sahaja dan meningkat kepada 70 peratus pada babak kedua.
Pasukan bimbingan Kim Pan-gon juga merekodkan jumlah percubaan yang lebih tinggi iaitu sekitar 8 percubaan pada babak pertama dan meningkat kepada 15 percubaan babak berikutnya.
Peluang yang dimiliki oleh beberapa percubaan dari sepakan percuma jelas membantu untuk memberi tekanan kepada anak buah Hector Cuper sehingga dibolisi dua gol pada separuh masa kedua.
Gol jaringan Akhyar Rashid dan Darren Lok masing-masing pada minit ke-51 dan 84 sudah cukup untuk membuat jutaan rakyat Malaysia tersenyum.
Aksi berikutnya menyaksikan Malaysia bakal melayan tentangan tuan rumah, China pada 9 September 2023.