Status Bafétimbi Gomis Berdepan JDT Masih Tergantung

Gomis JDT Kawasaki Status Bafétimbi Gomis Berdepan JDT Masih Tergantung
Kawasaki Frontale
Nik Faris @nikfalovic
10:16am 08/09/2023

Penyerang sensasi Perancis, Bafétimbi Gomis masih tidak dapat dipastikan kelibatnya bakal dipertaruhkan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.

Pemain berusia 38 tahun melengkapkan perpindahan ke Kawasaki Frontale daripada kelab gergasi Turki, Galatasaray.

Kelibat beliau bagaimanapun masih tidak kelihatan dalam mana-mana lima aksi sejak beliau bersama pasukan.

Percaturan ketua jurulatih, Toru Oniki untuk mempertaruhkan pemain tempatan menyaksikan bekas bintang Al-Hilal itu tidak disenaraikan dalam skuad Kawasaki.

Beliau juga tidak berada di bangku simpanan dalam mana-mana lima aksi tersebut sungguhpun telah menjalani latihan bersama pasukan.

Kawasaki Frontale masih memiliki satu lagi aksi J1 League berdepan FC Tokyo di laman sendiri sebelum terbang ke Johor Bharu menentang JDT.

Keadaan ini sekaligus membuatkan status bekas pemenang dua kali Liga Juara-Juara AFC (ACL) berdepan JDT masih menjadi tanda tanya.

Beliau tiba di Jepun dengan status bekas penjaring terbanyak Liga Pro Saudi 20/21 dengan 24 gol dan juga penjaring terbanyak ACL 18/19 dengan 11 gol.

JDT dan Kawasaki Frontale akan bertarung pada 19 September 2023 pada jam 8 malam di Stadium Sultan Ibrahim.