Status kecederaan yang dialami penyerang Selangor FC dari Jordan, Reziq Bani Hani meresahkan penyokong setia pasukan itu.
Sejak menyertai Merah Kuning dari kelab Al-Faisaly pada hari terakhir tetingkap pertama perpindahan Liga Malaysia (Liga M), penyerang berusia 22 tahun itu sudah menunjukkan impaknya di atas padang.
Meskipun membuat kemunculan sebanyak dua kali sebagai pemain gantian, Reziq sudah meledakkan satu gol buat Merah Kuning.
Atas sebab itu, ramai penyokong Selangor resah apabila melihat beliau diterjah pemain Persija Jakarta dalam aksi final RCTI Premium Sports baru-baru ini.
Pengendali Selangor, Nidzam Jamil kemudiannya memasukkan Mukhairi Ajmal menggantikan Reziq pada minit ke-37 bagi mengurangkan risiko kecederaan yang dialaminya.
Selangor muncul juara kejohanan selepas mengalahkan Persija 1-0. Gol tunggal perlawanan disumbang oleh pemain sayap Cape Verde, Alvin Fortes.
Keresahan penyokong tidak dibantu apabila melihat imej penyerang muda Jordan itu berkerusi roda semasa upacara penyampaian pingat dan trofi RCTI Premium Sports.
Penyokong Selangor, Saiful Ridzuwan meluahkan kebimbangan apabila melihat gambar Reziq berkerusi roda. Dia bimbang penyerang itu terpaksa berehat untuk jangka masa lama.
“Reziq aduh, siap pakai kerusi roda. Macam serius itu sakit (akibat kecederaannya),” katanya di ruang komen Facebook Selangor.
Sentimen ini turut dikongsi seorang penyokong lain iaitu Zhackz Zhackery. Dia mengharapkan kecederaan yang dialami Reziq tidak serius seperti yang disangka.
“Harap kecederaan Reziq tidak serius,” katanya ringkas di ruang komen pasukan Merah Kuning.
Setakat ini, masih tiada maklumat lanjut tentang status kecederaan penyerang baharu Selangor itu.