Keputusan mengenai masa hadapan pasukan Sri Pahang di Liga Super akan diputuskan tidak lama lagi.
Sebelum ini, timbul ura-ura mengatakan Sri Pahang antara pasukan yang bakal mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super dengan musim ini akan jadi penampilan terakhir mereka.
Maklumat terbaharu daripada Pengerusi Kelab, Datuk Seri Raja Shaharudin Shah Raja Jalil Shah mengatakan bahawa segala keputusan akan diumumkan selepas perbincangan antara pihak atasan dan penganjur liga.
“Keputusan muktamad hanya boleh dilakukan selepas perbincangan antara pemilik Sri Pahang, Tengku Muda Pahang iaitu Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, pihak pengurusan kelab dan penganjur.”
Hal ini kerana, skuad yang diberi julukan Tok Gajah ini sedang melakukan persiapan rapi dalam menghadapi dua aksi besar berdepan Penang di Liga Super dan final Piala Malaysia nanti.
“Buat masa ini fokus utama kita ialah persiapan pasukan Sri Pahang bagi aksi terakhir Liga Super bertemu Penang serta final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT),” ujar beliau kepada Stadium Astro.
Ketika ini, Sri Pahang berada di tangga ke-10 Liga Super dan berpeluang untuk melonjak ke kedudukan ke-6 jika berhasil menewaskan Penang dalam aksi terakhir pada 19 April ini.