Keputusan barisan kejurulatihan Al-Nassr untuk merehatkan bintang utama pasukan, Cristiano Ronaldo ternyata silap apabila mereka ditumbangkan oleh Al-Ittifaq.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Prince Mohamed bin Fahd itu menyaksikan jentera serangan Al-Nassr diketuai oleh bekas bintang Liverpool, Sadio Mane.
Beliau bagaimanapun bergelut untuk mencipta impak yang diharapkan apabila gagal menoktahkan kemenangan buat pasukan pelawat.
Sungguhpun bermula baik dengan jaringan pada minit ke-4 oleh Mane, percaturan ampuh pengendali Al-Ettifaq, Steven Gerrard berjaya memacu anak buahnya untuk bangkit.
Gol menerusi Robin Quaison dan Moussa Dembele pada babak kedua suda cukup untuk mengesahkan kemenangan tuan rumah.
Ini juga merupakan perlawanan pembukaan buat Al-Nassr bagi musim baru tanpa kehadiran Ronaldo.
Keputusan ini dilihat signifikan dengan aksi yang telah dimainkan oleh bintang Portugal berusia 38 tahun itu setelah turun dalam kesemua perlawanan Piala Kelab Arab dan juga aksi persahabatan.
Beliau dijangka akan kembali mengemudi pasukan dalam aksi kedua liga bertemu Al-Taawon Sabtu hadapan.