Sudirman Cup: Malaysia Mula Bergaya, Tundukkan Perancis
UltraSukan
BA Malaysia

Kontinjen Malaysia membuka kempen Sudirman Cup 2025 dengan cemerlang apabila menang bersih ke atas Perancis dalam aksi pertama kumpulan.

Diundi di dalam kumpulan C, Malaysia yang juga semi finalis edisi lalu bakal berdepan cabaran Perancis pada perlawanan pertama diikuti menentang Australia serta Jepun pada hari seterusnya.

Malaysia mempertaruh barisan terkuat diketuai oleh kapten, Leong Jun Hao dan pemain-pemain seperti Goh Jin Wei, Nur Izzuddin, Goh Sze Fei, Pearly Tan, Thinaah Muralitharan, Goh Soon Huat dan Shevon Lai.

Mata pertama berjaya disumbangkan oleh pasangan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei yang hanya perlukan 29 minit untuk atasi lawan dari Perancis, Mael Cattoen-Lucas Renoir.

Selepas itu, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei pula turun bertemu Leonice Huet dan berjaya meraih mata penting buat Malaysia apabila menang 21-10, 21-19 dalam masa 33 minit.

Cabaran sengit diterima oleh Leong Jun Hao apabila bertemu tonggak Perancis, Arnaud Merkle sebelum pemain negara ini akhirnya menang dalam pertembungan yang memakan masa hampir satu jam.

Keputusan semasa, Malaysia 3-0 Perancis.

Selepas ini, dua lagi wakil negara iaitu Pearly Tan-M. Thinaah akan turun untuk acara beregu wanita serta diikuti pasangan beregu campuran Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Aksi seterusnya menyaksikan Malaysia akan turun berdepan Australia pada Selasa, 29 April ini sementara Perancis akan menentang Jepun pada hari yang sama juga.