Aksi pembukaan peringkat kumpulan acara bola sepak Sukan Olimpik 2024 diselubungi kontroversi membabitkan perlawanan Maghribi dan Argentina.
Maghribi pada awalnya mendahului menerusi dua jaringan yang disumbangkan penjaring terbanyak Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/24, Soufiane Rahimi. Argentina kemudiannya merapatkan jurang menerusi Giuliano Simeone.
Apabila perlawanan menghampiri penghujung tempoh masa tambahan selama 15 minit, La Albiceleste menyangka mendapat gol penyamaan menerusi pemain tengah Boca Juniors, Cristian Medina.
Keadaan ini menyebabkan berlaku kekecohan dalam stadium termasuk beberapa penyokong dikesan menceroboh padang. Ini memaksa pengadil Sweden, Glenn Nyberg mengarahkan kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan sebagai langkah keselamatan dan menangguhkan perlawanan.
Perlawanan bersambung semula dengan baki tempoh tiga minit beberapa jam selepas itu. Sebelum perlawanan diteruskan, gol Medina kemudiannya dibatalkan sistem bantuan video pengadil (VAR) atas kesalahan ofsaid.
Maghribi memilih bertahan dalam tempoh tersebut dan itu sudah cukup memastikan mereka meraih kemenangan berharga 2-1.
Jurulatih La Albiceleste, Javier Mascherano meluahkan rasa tidak puas hati atas apa yang berlaku dan menggelar semua ini sebagai sarkas.
“Saya tidak lama bergelar jurulatih tetapi tidak pernah dalam karier saya sebagai pemain, saya melihat situasi seperti itu. Ia adalah sarkas. Tetapi itulah yang berlaku. Kita tidak boleh mengawalnya.
“Saya memberitahu para pemain bahawa sekarang kita perlu melihat ke hadapan, cuba mendapatkan enam mata yang akan membolehkan kita layak dan semua ini harus mengisi kita dengan tenaga dan kemarahan untuk apa yang ada di hadapan kita,” katanya seperti yang dilaporkan BBC Sport.
Selepas ini, Argentina akan menentang Iraq pada 27 Julai. Sementara Maghribi pula turun menentang Ukraine pada hari yang sama.