Jurulatih Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Tano Solari mengakui pasukannya berdepan tugas sukar untuk bangkit apabila dibolosi tiga gol awal oleh Ulsan Hyundai semalam.
The Tigers membolosi gawang Harimau Selatan menerusi Jeong Seung-hyeon pada minit kelima dan dua gol Gustav Ludwigson pada minit ke-12 dan ke-18.
Selepas Kim Tae-hwan dibuang padang pada minit ke-36, barulah JDT mula menguasai perlawanan. Bagaimanapun, mereka mendapat gol saguhati menerusi Bergson pada minit ke-53.
Solari melihat selepas Ulsan beraksi dengan 10 pemain, ini sedikit sebanyak mengubah momentum perlawanan kepada JDT.
Begitupun, mereka gagal menambah gol tambahan disebabkan The Tigers memilih mempertahankan kedudukan mereka sehingga tamat wisel permainan.
“Ini satu perlawanan yang sukar. Ia tidak berhasil seperti yang saya fikirkan. Amat sukar bila kita dibolosi awal pada babak pertama.
“Ulsan turun beraksi dengan agresif. Beliau (Tae-hwan) membuat terjahan kasar dan menerima kad merah. Kita dapat jaringkan gol pada babak kedua tetapi sayang, kita tidak dapat jaringkan gol tambahan,” katanya seperti dilaporkan Sports Chosun.
Walaupun kecewa dengan keputusan semalam, Solari melihat pengalaman ini sebagai sesuatu yang positif.
Dan beliau berharap pengalaman ini dapat dimanfaatkan apabila kedua-dua pasukan kembali bertemu di Stadium Sultan Ibrahim pada 7 November ini.
“Kita belajar daripada lawan kita (dari segi) kekuatan mental. Kita tunjuk kemahuan kepada lawan kita, kita kawal permainan pada babak kedua.
“Saya fikir pengalaman ini amat membantu persembahan kita pada masa akan datang,” ujarnya.
Fokus JDT kini beralih kepada aksi terbaru Liga Super menentang Kelantan United FC di Kota Bharu pada 28 Oktober ini.