Aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai berdepan wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ulsan Hyundai bermula garang apabila memecah kebuntuan seawal minit kelima permainan. Hantaran sepakan penjuru yang diambil Bojanic telah disambar kemas kapten pasukan Ulsan, Jung Sueng Hyun untuk gol pertama Ulsan.
Penyerang import Ulsan, Gustav Lugwigson melebarkan kedudukan setelah memanfaatkan kesilapan Jordi Amat. Pemain berusia 30 tahun itu melepaskan satu rembatan kencang menewaskan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi.
Tak terhenti setakat itu, Gustav Lugwigson sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring apabila gerakannya berjaya memperdaya pertahanan kanan JDT, Matt Davies sebelum melepaskan percubaan cantik menggegar jaring.
Pada minit ke-36 permainan, pertahanan Ulsan, Kim Tae-hwan dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua. Beliau menerima kad kuning pertama selepas melakukan provokasi terhadap Bergson sebelum sekali lagi dipersalahkan pengadil kerana mengasari Corbin Ong.
Separuh masa pertama tamat, Ulsan Hyundai 3-0 JDT.
Bersambung aksi di babak kedua, JDT terus melancarkan serangan untuk merapatkan kedudukan.
Pada minit ke-52 permainan, Bergson da Silva meledak. Jaringan Bergson tersebut bagaimanapun tidak cukup untuk menyekat kemaraan Ulsan Hyundai.
Lima minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan, JDt tewas kepada Ulsan Hyundai 3-1.
Aksi seterusnya menyaksikan JDT bakal berdepan Kelantan United pada 28 Oktober dalam kempen Liga Super dan melayan kunjungan Perak pada 2 November untuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 sebelum kembali di pentas ACL, sekali lagi berdepan Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa, 7 November 2023.