Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor meminta agar tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma), Sarawak menanggung sediki kos bagi negerinya ke sana.
Perkara ini dilaporkan oleh Free Malaysia Today mengenai permintaan Sanusi agar menanggung kos tinggi untuk membawa kontinjen dan peralatan ke Sarawak.
Beliau menjelaskan bahawa peningkatan kos yang tinggi terpaksa ditanggung termasuklah tiket perjalanan dan membawa peralatan.
Sanusi menyatakan perkara ini dalam sidang media selepas mesyuarat exco dan menjelaskan bahawa kontinjen negeri itu perlu membawa beberapa kontena peralatan ke Sarawak.
“Kita akan hantar kontinjen ke Sarawak tetapi bila jauh kos agak tinggi sedikit. Saya rasa negeri lain juga sama.
“Kos untuk menyertai Sukma tahun ini agak tinggi berbanding tahun sebelum ini. Kita juga berharap tuan rumah (Sarawak) dapat menanggung sedikit kos. Banyak peralatan yang kena bawa,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun teruja untuk menyemarakkan acara sukan ini atas semangat kesukanan yang tinggi.
“Dengan susah-payah ini, kita akan menyertai juga atas semangat kesukanan dan menjayakan Sukma di Sarawak.”