Advertisement
Sultan Selangor Titip Pesan Buat Pengurusan & Penyokong Selangor
Liga Super
MakanBola
Selangor FC

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitipkan pesanan khusus buat pihak pengurusan dan para penyokong Selangor FC.

Pada Isnin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah menitahkan dalam satu hantaran di Selangor Royal Official buat pihak pengurusan dan penyokong yang hadir menonton perlawanan The Red Giants.

Mengambil kira keadaan semasa dan prihatin dengan semangat persaingan yang kian memuncak dalam saingan Liga Super, pada 10 Oktober 2024, Baginda telah pun menitipkan sepucuk warkah kepada pihak pengurusan Selangor FC.”

Dalam warkah berkenaan, Baginda mengingatkan semua pihak agar menjaga tingkah laku masing-masing supaya tidak berlaku lagi perselisihan faham dan pergaduhan di dalam mahu pun luar padang, yang boleh mengundang permusuhan sehingga membawa kepada keganasan.

Baginda mahu setiap pemain dan juga penyokong harus bijak dan rasional dalam mengawal emosi agar tidak terjerumus dengan provokasi yang boleh memberi kesan negatif yang akhirnya membinasakan.

Titah Baginda, sesungguhnya dalam bola sepak, menang atau kalah adalah adat pertandingan namun yang lebih penting, semua yang terlibat meraikan pihak yang berjaya dan mengambil tauladan daripada setiap kekalahan.

Baginda ingin terus melihat bola sepak kekal menjadi sukan yang menyatupadukan rakyat jelata tanpa ada anasir-anasir luar yang cuba merosakkannya.

Terdahulu, Selangor terpaksa akur diikat seri 1-1 oleh PDRM di Stadium Selayang pada Sabtu dengan jaringan lewat dari Aremu Timothy menidakkan gol awal dari Alvin Fortes.

Ujian seterusnya buat anak didik Nidzam Jamil adalah dalam saingan AFC Champions League 2 (ACL2) apabila menerima kunjungan jaguh Korea, Jeonbuk Hyundai pada Rabu.