Selepas mempamerkan aksi tarian dalam perlawanan menentang Kelantan FC tempoh hari, pemain Perak FC, Sunday Afolabi memohon maaf kepada semua penyokong Kelantan di atas perbuatannya itu.
Dalam perlawanan yang menyaksikan Perak berjaya mengejutkan Kelantan dengan keputusan 2-1 itu, Sunday dilihat membuat tarian pada minit ke-84 permainan sebelum terjatuh dan berguling di atas padang selepas terlanggar kaki pemain Kelantan, Latiff Suhaimi.
Sunday dilihat telah membuat permohonan maaf itu dalam satu balasan komen dari laman instagram kelantan_pride_and_soul. Pemain Nigeria itu berkata beliau tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa dengan tindakannya itu.
Sunday juga berjanji bahawa beliau tidak akan sama sekali mengulanginya lagi. Melalui tinjauan di laman instagram milik pemain itu, gambar-gambar yang dimuat naik Sunday telah diserang dengan komen-komen negatif oleh segelintir penyokong Kelantan yang jelas tidak selesa dengan tarian yang dilakukan Sunday.
Baru-baru ini, bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Salleh telah memberitahu bahawa tarian Sunday itu tidak perlu dihukum namun berpendapat bahawa tindakan yang Sunday lakukan itu akan menimbulkan masalah.