Laman Opta Analyst telah mengeluarkan satu ramalan tentang perjalanan Malaysia untuk merangkul trofi Piala Asia 2023 menerusi simulasi superkomputer untuk melihat nasib Harimau Malaya.
Laman yang menganalisis lebih 13,500 kelab bola sepak di seluruh dunia itu telah menunjukkan nasib pasukan bimbingan Kim Pan-gon di Qatar yang bakal bermula tidak lama lagi.
Menurut statsitik AFC, Malaysia memiliki hampir 72 peratus kemenangan di bawah era pengendali kelahiran Korea Selatan itu sejak mengambil alih pasukan pada tahun 2022.
Situasi ini bagaimanapun tidak mengubah ramalan superkomputer Opta yang menjangkakan laluan sukar buat skuad negara di Piala Asia.
Jepun dijangka menjadi pasukan pilihan di Piala Asia dengan 24.6 peratus peluang untuk memenangi kejuaraan dan bakal mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir.
“Jepun adalah pasukan yang perlu ditewaskan tahun ini. Superkomputer memberi mereka peluang 24.6 peratus untuk memenangi kejohanan itu, dan mereka berjaya mara ke sekurang-kurangnya separuh akhir dalam lebih separuh daripada 10,000 simulasi kami.”
“Korea Selatan (14.3 peratus) dijangka menjadi pencabar terdekat Jepun untuk kejohanan ini.
Iran (11.2 peratus) dan Australia juga berada dalam gabungan, dengan Socceroos diberi peluang agak tinggi sebanyak 10.7 peratus oleh superkomputer Opta.”

“Arab Saudi (10.6 peratus) turut menyertai kejohanan itu sebagai pesaing, manakala tuan rumah Qatar mempunyai peluang 9.8 peratus untuk mempertahankan kejuaraan mereka dan dijangka mara sekurang-kurangnya ke suku akhir.”
Skuad kebangsaan diramal hanya memiliki 0.2 peratus peluang untuk menjuarai Piala Asia 2023 bersama-sama dengan rakan serumpun, Indonesia.
Pasukan ke-150 dunia, Hong Kong memiliki peluang paling kecil untuk menjuarai Piala Asia dengan 0.1 peratus.