Hajat peminat bola sepak Thailand melihat Suphanat Mueanta untuk terus beraksi dalam arena bola sepak Eropah tercapai.
Ini selepas kelab Belgium, OH Leuven mengumumkan telah mengekalkan khidmat penyerang berusia 21 tahun itu secara pinjaman selama semusim lagi.
Keputusan itu dicapai selepas OHL mencapai persetujuan dengan kelab Thailand, Buriram United. Pengumuman ini sekaligus memadamkan khabar angin perpindahan yang mengaitkan Suphanat dengan kelab J1 League, Hokkaido Consadole Sapporo.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OHL, Frédéric Van den Steen menyifatkan keputusan ini bukan saja memberi manfaat kepada karier bola sepak Suphanat.
Malah, Suphanat akan memberi lebih banyak pilihan kepada jurulatih OHL, Oscar Garcia di bahagian serangan.
“(Suphanat) Mueanta ialah seorang pemain muda dengan potensi yang banyak. Beliau seorang yang pantas dan mampu bertindak dengan baik (menggunakan) kakinya.
“Saya gembira beliau akan kekal di Leuven selama semusim lagi. Ini memberi jurulatih lebih banyak pilihan di bahagian serangan,” katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi OHL.
Selepas membuat permulaan lewat gara-gara kecederaan hamstring, Suphanat membuat kemunculan pertama untuk pasukan itu pada November 2023. Sejak itu, beliau merekodkan 15 penampilan dan satu gol bersama OHL.