Tonggak Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad kembali membarisi senarai 26 pemain Harimau Malaya bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Skuad bimbingan Kim Pan-gon akan ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Isnin, 27 Mei 2024 bagi menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Aksi menentang Republik Kyrgyz di Bishkek dijadualkan berlangsung pada 6 Jun 2024 dan seterusnya berdepan Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024.
Berdasarkan senarai di atas, Pan Gon telah mengekalkan seramai 16 daripada 24 pemain dari skuad bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 21 dan 26 Mac lalu.
Beberapa senarai yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), beberapa pemain terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan seperti Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Azam Azmi Murad dan Romel Morales.
Selain itu, terdapat pemain baharu yang tersenarai ialah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Kedah Darul Aman FC), Adib Ra’op (Penang FC), Feroz Baharudin (Johor Darul Ta’zim), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC), Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC) dan Engku Shakir Engku Yacob (Terengganu FC).
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu juga menyenaraikan 22 pemain dalam Senarai Bersedia sekiranya terdapat perubahan dalam senarai pemain yang dipanggil kali ini.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.
Dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D melibatkan aksi Chinese Taipei bertemu Oman di Taipei pada 6 Jun 2024 sebelum Oman menanti kunjungan Republik Kyrgyz di Muscat pada 11 Jun 2024.